21.7.22

Dividen Adalah Untuk Pemilik Modal



Bukankah apa bila pelabur membeli saham di pasaran saham , wang dibayar atas pembelian akan diterima oleh penjual saham bukan syarikat?

Mengapa ia menerima dividen sedangkan ia nampak tidak menyumbang modal kepada syarikat?
 
Di atas ialah antara beberapa soalan yang pernah dilontarkan oleh seorang peserta kursus. Saham dalam kata lain ialah modal. Memiliki saham bermakna pemegang modal syarikat, dalam kata lain juga adalah pemilik syarikat.

Dalam ilmu ekonomi, pulangan untuk pemilik tanah/hartanah adalah sewa. Pulangan bagi modal adalah untung. 

Saham adalah bahagian modal dalam sesuatu perniagaan atau syarikat. Pulangannya adalah untung dalam bentuk dividen.

Dividen adalah sebahagian untung syarikat yang diagihkan kepada tuan punya modal iaitu pemegang saham.

Syarikat menerima modal apabila ia menerbit saham baru melalui IPO sebelum disenarai. Bila IPO dibeli atau dilanggan, pembeli dapat saham dan menjadi tuanpunya modal dalam syarikat, istilah lain pemegang saham . Syarikat pula dapat modal untuk perniagaannya.

Bila sudah disenarai pemegang saham yang membeli melalui IPO tadi boleh menjual kepada orang lain di pasaran saham. Bila ia sudah menjual ia kini sudah tidak lagi pemegang modal untuk syarikat berkenaan dan tiada lagi berhak menerima dividen.

Sebaliknya pelabur yang membeli di pasaran saham dianggap mengambilalih modal dari sipenjual. Maka keuntungan dalam bentuk dividen itu menjadi milik tuanpunya modal yang baru.
 
Ibarat rumah sewa, pemilik mendapat dapat hasil dari kutipan sewa, jika rumah dijual pemilik baru pula yang mendapat hasil sewa. Konsep yang sama terpakai dalam saham dan syarikat.
 
Jual beli saham di pasaran saham setiap hari menunjukkan ada modal yang bertukar pemilik setiap hari.
 
 
 - Sabri Jalil