14.3.23

Pentingnya Nilai Masa Depan


Setiap saham ia ada pergerakan turun naik dalam satu masa. Pergerakan jangka pendek dipengaruhi oleh sentimen. 

Pergerakan jangka panjang dipengaruhi oleh prestasi dan kedudukan aset.

Pergerakan jangka pendek jika gagal membentuk trend yg menaik dalam jangka panjang, maka saham berkenaan hanya sesuai untuk diniaga jangka pendek tetapi tetap berisiko tinggi.

Astro sebuah jenama besar dulu dan kini. Harga suatu ketika dulu pernah melebihi RM3.00 tetapi kini hanya bernilai dalam matawang sen..

Penyumbang kepada fenomena ini ialah untung yang makin merosot. Untung bersih lima tahun merosot dari RM770 juta pada tahun 2018 kepada RM460 juta pada tahun 2022. Itu belum melihat aliran 5 tahun sebelum 2018.

Dari segi kekuatan kewangan pula, nisbah tunai hanya 0.75, nisbah hutang 3.63 dan nilai bersih adalah negatif.

Ketiga-tiga metrik kewangan tersebut tidak memenuhi standard biasa apalagi standard Warren Buffet yang lebih ketat.

Kebanjiran applikasi yang boleh menyaksikan siaran bolasepak liga-liga Eropah melalaui telefon pintar mengancam masa depan Astro. Suatu ketika siaran langsung bolasepak menyumbang kepada langganan Astro. 

Ditambah dengan keujudan TV box yang memuatkan saluran-saluran Astro secara haram. Pemilik TV box boleh menikmati saluran Astro secara percuma.

Walaupun dikatakan Astro cuba mengalih kepada bisnes model baru seperti yang ulas pengananlisis dalam laporan Berita Harian tetapi tidak jelas apa bisnes modelnya untuk dinilai

Bila untung tahunan makin merosot dan prospek masih kelabu, ditambah dengan elemen-elemen kewangan yang makin lemah, maka ia bukan satu kaunter yang sesuai untuk dijadikan pegangan sebagai aset walaupun harga pada tahap diskaun. (tetapi Astro setakat 13 Mac 2023 ia bukan pada harga diskaun memandang aset bersihnya adalah negatif)

Dalam pelaburan, nilai masa depan lebih penting daripada harga.

Baca juga artikel yang berkaitan . KLIK SINI


Sabri Jalil  



2.3.23

Untung Besar Yang Dibayang Rugi Yang Ditanggung

 Saham CITAGLB berlaku lonjakan harga semalam dari 0.295 (harga tutup pada 1 Mac 2023) dibuka pada harga 1.47 pada hari berikut ( 2 Mac 2023)

Lonjakan RM1.17 atau 398%.



Jika anda memiliki saham tersebut pasti teruja dan gembira. Lalu menjual dengan jumlah yang sedia ada tanpa berfikir panjang kerana untung besar.

Namun, yang diharap suka tetapi yang diterima duka.

Katakan asalnya anda mempunyai 10000 unit, setelah menjual, pada hari berikutnya, anda dimaklumkan bahawa saham anda sebenarnya hanya tinggal 2000 unit. Jumlah itu yang sepatutnya dijual pada hari lonjakan berlaku. 

Tentu menjadi tandanya kemana hilangnya 8000 unit. Lebih parah lagi yang 8000 unit perlu dibeli balik untuk mengimbangkan baki yang terlebih jual (over sold)

Asalnya mengharao keuntungan besar tetapi kerugian yang ditanggung kemudian.

Kes ini amat kerap berlaku.

Namun anda tidak akan teruja dan terburu-buru untuk menjual jika anda faham perkara-perkara ini ;

1. Limit up/down

2. Corporate exercise & adjustment price.

Untuk melibatkan diri dalam pasaran saham pengetahuan bukan hanya terhad kepada analisis teknikal dan fundamental sahaja.

Luaskan lagi ilmu anda..


- Sabri Jalil

29.12.22

Saham, Forex Dan Komoditi

Saham adalah saham, ia bukan forex dan ia bukan komoditi, Ia adalah bahagian pemilikan dalam modal/hakmilik syarikat.

Forex adalah forex, ia bukan saham dan ia bukan komoditi. Forex adalah berkaitan dengan matawang asing.

Komoditi adalah komoditi, ia bukan saham dan ia bukan forex. Komoditi ialah barangan utama yang diproses untuk dijadikan barangan lain.


Contoh komoditi ialah minyak mentah, emas, jagung, minyak sawit mentah (FCPO) dan lain-lain.

Baik saham, forex dan komoditi ia didagangkan di atas platform masing-masing.





Platform dagangan saham dipanggil bursa saham atau stock exchange.

Platform dagangan forex dipanggil sebagai foreign exchange (singkatnya forex).
Manakala platform dagangan komoditi ialah commodity exchange.atau derivative exchange. Setengah komoditi mempunyai platform dagangan yang khusus.



Di Malaysia kita boleh membuat transaksi komoditi di bawah payung Bursa Malaysia tetapi melalui cross deal. Hakikatnya urusniaga dihantar ke Malaysian Derivative Exchange (dulu dikenali sebagai Malaysian Commodity Exchange) iaitu pasaran komoditi kita.

Tidak ada platform atau bursa yang mengawal antara satu sama lain.

Tidak ada bursa saham di dunia yang mengawal turun naik harga saham apatah lagi instrument yang berbeza seperti komoditi dan lain-lain hatta NYSE sekalipun iaitu bursa saham yang terbesar dan paling berpengaruh di dunia.

Begitu juga dengan bursa komoditi mahupun forex tidak mengawal turun naik komoditi atau forex apatah lagi saham kerana ia beroperasi secara berbeza dan berasingan walapun diuruskan oleh organisasi yang sama, begitu juga pasaran forex dan komoditi.

Kerana ketiga-tiga instrument pelaburan ini didagangkan atas prinsip permintaan dan penawaran. Apatah lagi kalau dikatakan bursa saham mengawal turun naik komoditi lain termasuk emas kerana pasaran saham tiada kena mengena dengan pasaran emas. Ia adalah pasaran yang berasingan.

Kesimpulanya, harus difahami apa itu saham dan bursa saham (stock exchange), apa itu forex atau foreign excahge dan apa itu komoditi dan commodity exchange. Dan mereka adalah berasingan dan tidak mengawal antara satu sama lain.

- Sabri Jalil



22.7.22

Siapa Remiser?


Jika anda terlibat dalam pelaburan di pasaran saham istilah tersebut pasti melekat dilidah anda. Beliaulah individu yang harus anda hubungi jika anda ingin melabur saham di pasaran saham. 

Remisier juga dipanggil sebagai wakil peniaga saham atau dealer’s representative. Apa saja istilah ia adalah individu yang sama dan memainkan peranan yang sama.

Di setengah Negara seperti Amerika Syarikat remisier di panggil sebagai stock broker. Di Malaysia stock broker merujuk kepada institusi yang menjalankan perniagaan pembrokeran saham seperti bank pelaburan atau syarikat sekuriti (tetapi bukan syarikat kawalan keselamatan).

Remisier adalah individu yang diberi tauliah atau lesen oleh Suruhanjaya Sekuriti iaitu badan tertinggi yang mengawal keseluruhan industry pelaburan Negara. Untuk melayakkan diri sebagai seorang remisier beliau mesti sekurangnya memiliki ijazah sarjana muda. Selain itu ia juga  mesti lulus peperiksaan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti.
 

Peranan Remisier Dan Tanggungjawabnya Kepada Pelabur

Ada yang berpendapat Remisier adalah pengambil pesanan (order taker) dari pelabur yang ingin membeli dan menjual saham. Ia adalah benar dan itu adalah peranan asal remesier. Tetapi zaman sudah berubah dan tuntutan sudah berubah mengikut masa.

Sesuai dengan perubahahan zaman dan tuntutan, maka peranan remisier zaman kini bukan hanya sebagai pengambil pesanan (order taker) tetapi mereka juga memainkan peranan sebagai rujukan dan penasihat kepada pelanggannya (pelabur dan pedagang) dalam apa saja perkara yang berkaitan dengan urusniaga.

Ia adalah antara sebab mengapa Suruhanjaya Sekuriti telah menaikkan taraf kelayakan minimum kepada ijazah pada awal tahun 1990an berbanding dengan hanya SPM sebelumnya.


Bila seorang pelabur bertanya “Apa saham boleh dibeli. Berapa harga boleh naik?”, maka disitu bermula cabaran seorang remisier masa kini.

Mungkin sebahagian masih tidak mengetahui bahawa khidmat remisier adalah dibayar oleh pelabur dalam setiap urusniaga. Ia dipanggil yuran broker. Oleh kerana pelabur membayar khidmat remisier maka gunakan khidmat dan dapatkan pandangan remisier anda.
 

- Sabri Jalil

Jualan Singkat @ Short Selling


Aktiviti jualan singkat melibatkan peminjaman saham (skrip/sijil) dari pihak ketiga
dan saham yang dipnjamkan mesti dipulangkan semula

Ia adalah jualan yang dibuat hanya beberapa minit selepas membeli. 

Benarkah definisi tersebut? Tidak  sama sekali, tetapi masih ada yang berfahaman demikian.
 
Maksud sebenar jualan singkat (short selling) ialah menjual dahulu saham yang tidak dimiliki dan membelinya kemudian. Ia bertentangan dengan amalan biasa (yang dikenali sebagai 'long") dalam usaha menjana untung . Dalam amalan biasa pelabur beli dahulu jual kemudian.
 
Dalam jualan singkat cara pelabur menjana keuntungan ialah jual dahulu saham yang dijangka akan jatuh dan beli semula pada harga lebih rendah. Jika jangkaan meleset iaitu saham yang dijangka jatuh bergerak sebaliknya pelabur akan menanggung kerugian dari perlaksanaan jualan singkat
 

Di Bursa Malaysia ada dua jenis jualan singkat;

Pertama > Intraday Short Selling (IDSS)
Ia mesti dilaksanakan dalam tempoh hari yang sama (intraday). Mesti dijual singkat (iaitu dibeli selepas dijual) sebelum pasaran ditutup.
 
Kedua > Regulated Short Selling (RSS) 
Ia tidak terhad berapa lama pelabur ingin melaksanakanya. Namun RSS hanya untuk kaunter terpilih sahaja (yang dibenarkan oleh bursa) iaitu yang kukuh dari segi fundamental.

Oleh kerana tempoh untuk melaksanakan jualan singkat tidak terhad (tidak seperti IDSS), maka RSS akan melibatkan peminjaman sijil saham.
 

Mengapa perlu pinjam sijil saham?

Dalam apa saja aktiviti jual beli, bila kita sudah menjual barang kepada pembeli, barang yang dijual mesti diserah kepada pembeli. Dalam jual beli saham pula, apabila pelabur sudah menjual saham mesti diserah kepada pembeli.

Namun dalam jualan singkat pelabur menjual sesuatu saham yang ia tidak miliki, maka bagaimana untuk menyerahkan saham kepada pembeli? 

Jalan penyelesaian ialah pinjam dahulu dari pihak ketiga yang memiliki saham berkenaan untuk diserah kepada pelabur yang membeli.

Sudah selesaikah urusniaga? Jawapanya belum. Pelabur yang menjual perlu memulangkan semula saham yang dipinjam sebelum itu.


Bagaimana penyelesaian?

Bila pelabur yang menjual saham sebelum itu membeli semula saham berkenaan ia akan mendapat semula saham (sijil) tersebut dan akan dipulangkan semula kepada pihak yang meminjamkan saham berkenaan. Pihak yang meminjamkan saham berkenaan telah dapat semula sahamnya dan selesai satu pusingan urusniaga “short selling”.

 

 

- Sabri Jalil

 

21.7.22

Bukan Kerana Murah Tetapi Potensi


Setakat  21 Julai 2022, harga saham Supermax, Kossan dan Careplus (sekadar mendedahkan beberapa kaunter) kini lebih rendah dari nilai aset bersih.
 
Apakah mesej disebalik lebih rendah dari aset bersih?
 
Apabila harga berada dibawah nilai aset bersih, saham berkenaan dianggap sebagai dibawah nilai atau ‘under value’. Dengan kata lain harga pasaran berada dibawah nilai sebenar atau pada harga diskaun.
 
Bagi pelabur tulen, harga dibawah nilai adalah masa terbaik untuk membeli tetapi dengan syarat bahawa fundamental syarikat mesti masih kukuh dan mempunyai potensi untuk menjana keuntungan pada masa hadapan.
 
Keuntungan masa hadapan adalah aspek palingperlu  diutamakan oleh pelabur kerana ia adalah faktor kepada harga saham pada masa hadapan. Beli saham hari ini adalah kerana untuk harga atau nilai masa hadapan, maka  mengkaji potensi keuntungan masa hadapan amat mustahak..
 
Walaupun harga sesuatu saham telah berada dibawah nilai sebenar tetapi jika potensi keuntungan syarikat masih kabur maka ia tetap tidak sesuai untuk dibeli sebagai pelaburan walaupun kedudukan kewangan masih kukuh atau masih kaya.
 

Saham Star sebagai kajian kes;
 
STAR ialah saham dibawah nilai sejak beberapa tahun lalu. Harga semasa kini ialah 29 sen manakala nilai aset bersih sesaham ialah 89 sen, diskaun sebanyak 60 sen atau atau 67 peratus dibawah nilai.
 
Aset cairnya (wang tunai dan aset yang menyamainya) pula masih 4 kali ganda lebih tinggi dari hutang semasanya. Ia dianggap masih kukuh kewangannya.

Disebalik kekuatan tersebut terdapat perkembangan yang negatif. Rekod keuntungan makin merosot sejak 5 tahun yang lalu . Sejak tahun kewangan 2017 keuntungan merosot dari RM90.2 juta ke RM5.7 juta untuk 3 tahun pertama dan mula bertukar menjadi rugi 2 tahun selepas itu ke tahap RM132.4 juta (tahun kewangan 2021)
 


Harga sahamnya semakin merosot, dari harga setinggi RM2.56 pada tahun 2017 kini hanya RM0.29 sahaja. Kemerosotan harga sahamnya selari dengan prestasi keuntungan dalam tempoh yang sama.
 
Rekod keuntungan lalu yang buruk, harga sahamnya terus merosot dan keupayaan menjana keuntungan masa depan juga diragui.
STAR adalah syarikat media cetak yang menghadapi persaingan dengan media sosial dari pendapatan iklan sejak sekian lama. Masa depannya masih diragui selagi ia tidak mempunyai sesuatu yang baru (new elements) untuk mengubah potensinya.
 
Maka saham STAR ia tidak sesuai untuk dibeli untuk pelaburan walaupun kewangan masih kukuh dan harga sahamnya murah dibawah atau pada harga diskaun.
 
Kesimpulannya, beli saham bukan kerana harga murah semata-mata tetapi potensi masa depan perlu diutamakan.
 
 
*rujukan data : Kentrade, Stock Hunter
 
 
- Sabri Jalil

Dividen Adalah Untuk Pemilik Modal



Bukankah apa bila pelabur membeli saham di pasaran saham , wang dibayar atas pembelian akan diterima oleh penjual saham bukan syarikat?

Mengapa ia menerima dividen sedangkan ia nampak tidak menyumbang modal kepada syarikat?
 
Di atas ialah antara beberapa soalan yang pernah dilontarkan oleh seorang peserta kursus. Saham dalam kata lain ialah modal. Memiliki saham bermakna pemegang modal syarikat, dalam kata lain juga adalah pemilik syarikat.

Dalam ilmu ekonomi, pulangan untuk pemilik tanah/hartanah adalah sewa. Pulangan bagi modal adalah untung. 

Saham adalah bahagian modal dalam sesuatu perniagaan atau syarikat. Pulangannya adalah untung dalam bentuk dividen.

Dividen adalah sebahagian untung syarikat yang diagihkan kepada tuan punya modal iaitu pemegang saham.

Syarikat menerima modal apabila ia menerbit saham baru melalui IPO sebelum disenarai. Bila IPO dibeli atau dilanggan, pembeli dapat saham dan menjadi tuanpunya modal dalam syarikat, istilah lain pemegang saham . Syarikat pula dapat modal untuk perniagaannya.

Bila sudah disenarai pemegang saham yang membeli melalui IPO tadi boleh menjual kepada orang lain di pasaran saham. Bila ia sudah menjual ia kini sudah tidak lagi pemegang modal untuk syarikat berkenaan dan tiada lagi berhak menerima dividen.

Sebaliknya pelabur yang membeli di pasaran saham dianggap mengambilalih modal dari sipenjual. Maka keuntungan dalam bentuk dividen itu menjadi milik tuanpunya modal yang baru.
 
Ibarat rumah sewa, pemilik mendapat dapat hasil dari kutipan sewa, jika rumah dijual pemilik baru pula yang mendapat hasil sewa. Konsep yang sama terpakai dalam saham dan syarikat.
 
Jual beli saham di pasaran saham setiap hari menunjukkan ada modal yang bertukar pemilik setiap hari.
 
 
 - Sabri Jalil
 
 

20.7.22

Tak Perlu 100 Tahun Untuk Capai Sejuta


Ia satu perkara yang benar dimana masa 100 tahun diperlukan untuk menjadikannya sejuta ringgit dengan simpahan RM834 sebulan.

Namun tempoh masa itu diperlukan hanya jika menyimpan disaluran yang tiada memberi sebarang pulangan. Orang zaman dahulu suka simpan dibawah tilam (selepas itu duit rosak dan tidak boleh diguna) atau di dalam peti besi zaman sekarang.

Namun jika anda boleh mencari saluran yang memberi pulangan sekurangnya 5% setahun , berdasarkan kiraan terkompaun, simpanan bulanan sebanyak itu boleh dicapai dalamasa 37 tahun sahaja dengan syarat tidak dikeluarkan sepanjang tempoh tersebut.


Atau, jika anda makan gaji dan mula bekerja pada umur 24 tahun dan bersara pada umur 60 tahun (36 tahun bekerja) anda perlu membuat simpanan bulanan sebanyak RM870 (tambahan RM36) untuk mempunyai RM1 juta ketika mula bersara.

Maka, jika gaji anda sebulan ialah RM2000, caruman yang wajib untuk KWSP ialah 23% (11% dari pekerja, 12% dari majikan) atau RM460.

Anda perlu menambah RM410 (caruman sendiri) setiap bulan untuk mencapai matlamat sejuta (atau hampir) sehingga persaraan 60 tahun.


- Sabri Jalil

Kekayaan, Antara Anggapan Dan Hakikat




Anda mungkin mempunyai kumpulan aset seperti wang tunai dalam akaun bank, bangunan kediaman, tanah pertanian dan lain-lain. Nilai keseluruhan mungkin ratusan ribu ringgit. Katakan RM800 ribu, maka anda merasakan itu adalah nilai kekayaan yang dimiliki.

Jika anda tiada menanggung hutang ketika memiliki aset-aset tersebut, anggapan anda adalah benar. Namun, jika anda ada menanggung hutang, ia tidak benar. Nilai kekayaan sebenar anda adalah lebih rendah dari itu, malah mungkin boleh dianggap tidak kaya jika siaz hutang lebih besar.

Ini kerana kekayaan diukur daripada lebihan yang kita miliki yang dipanggil sebagai nilai bersih. Nilai bersih ialah perbezaan diantara jumlah aset yang dimiliki dan jumlah hutang yang ditanggung. Secara formula mudah ia boleh difahami seperti berikut;

    Nilai bersih = Jumlah aset - Jumlah liabiliti (hutang)

Jika anda memiliki sebuah rumah kediaman bernilai RM400 ribu, kekayaan anda dari rumah tersebut ialah RM400 ribu. Namun itu adalah nilai kekayaan kasar sahaja sedangkan nilai kasar bukan ukuran kepada nilai kekayaan sebenar.

Sesebuah aset fizikal apabila dijual ia akan bertukar menjadi aset tunai.

Jika rumah tersebut dimiliki dengan secara pinjaman, katakan baki pinjaman sehingga kini ialah RM300 ribu, bila ia dijual (katakan RM400 ribu juga) setelah ditotak pinjaman bakinya adalah RM100 ribu sahaja. Pada asal anda merasakan kekayaan dari pemilikan rumah adalah RM400 tetapi yang anda terima sekarang ialah RM100 sahaja, iaitu baki nilai rumah.

Dalam menilai sebuah syarikat kaedah yang sama digunakan. Nilai atau kekayaan sesebuah syarikat merujuk kepada apa yang dimiliki oleh syarikat seperti tunai di bank, tanah, bangunan pejabat atau kilang dan lain-lain, tetapi perlu dilihat juga jumlah liabiliti atau hutang yang ditanggung oleh syarikat untuk mendapatkan nilai bersih yang menjadi petunjuk kepada kekukuhannya. Formulanya adalah sama seperti diatas.

"Networth" (bahasa Inggeris) ialah istilah lain yang kerap diguna untuk menggantikan  istilah nilai bersih untuk individu dan organisasi termasuk syarikat. 

Terdapat juga istilah-istilah lain yang diguna  tetapi memberi maksud yang sama. Antaranya;

1. Aset bersih (net asset)

2. Nilai aset bersih (net asset value)

3. Nilai buku (book value)

4. Dana pemegang saham (shareholder fund)

5. Ekuiti pemegang saham (shareholder equity)

6. Pemilikan ekuiti (equity owner)

Untuk individu istilah ketiga hingga keenam amat jarang digunakan tetapi banyak digunakan untuk syarikat. 

Selain itu, nilai bersih membawa maksud nilai aset syarikat yang menjadi milik pemegang saham.


Contoh;

Jika nilai bersih sesebuah syarikat ialah RM300 juta, maka itu adalah nilai aset yang menjadi hakmilik para pemegang saham dan nilai yang sama akan dikembalikan kepada para pemegang saham jika ia dibubar.

Ada  kemungkinan nilai aset yang dipulangkan lebih rendah bergantung kepada saiz aset tidak ketara.

Penting bagi seorang pelabur menyemak nilai bersih sesebuah syarikat.  Nilai bersih bukan sahaja menunjukkan kekayaan/kekukuhan tetapi juga mengukur tahap risiko saham syarikat. Lebih tinggi nilai bersih lebih rendah risiko dan sebaliknya.

Pelabur perlu mengelak dari membeli saham sesuatu syarikat yang negatif nilai bersihnya. Nilai bersih yang negatif amat tinggi risiko. 

Jika saham syarikat tersebut masih diurusniaga di pasaran saham, ia akan dilabel sebagai PN17 atau GN3 dan menyebabkan harga semakin menjunam dalam kebanyakan kes. Ia berpotensi untuk dikeluarkan dari papan penyenaraian dan nilai sahamnya di pasaran saham menjadi kosong. Jika ia disusuli dengan pembubaran pelabur tidak mendapat apa-apa.

Maka, membeli syarikat yang nilai bersihnya negatif harus dielakkan walaupun dari segi kajian teknikalnya didapati baik. Tidak kira sama belian itu untuk jangka pendek, sederhana atau panjang.

Kesimpulannya , kekayaan sebenar sesebuah entiti, termasuk individu dan syarikat, tertakluk kepada lebihan atau baki yang dimiliki. Ia dipanggil sebagai nilai bersih.

 

- Sabri Jalil

Dividen, Bagaimana Diagih?



Dividen diagih setiap suku tahun oleh kebanyakan syarikat tersenarai.

Dari segi cara pengagihan setiap syarikat mempunyai polisi yang berbeza. Ia
mengikut nisbah yang dicadangkan oleh lembaga pengarah. 

Ada syarikat yang mengamalkan nisbah 60:40, bermakna 60 peratus daripada keuntungan akan ditahan untuk perbelanjaan operasi untuk tahun kewangan berikut manakala 40% diketepikan untuk bayaran dividen kepada pemegang saham.

Ada syarikat mengamalkan nisbah 50:50 dan 40:60

Katakan Syarikat XYZ telah mencatat keuntungan bersih sebanyak RM550 juta dan
jumlah saham yang dipegang oleh para pelabur ialah 800 juta unit. Jika polisi
pengagihan dividen ialah mengikut nisbah ialah 60:40 maka sebanyak RM220 akan
diagihkan kepada 400 juta saham yang ada.



Maka dividen yang dibayar untuk setiap unit saham ialah RM0.275 sesaham. Dengan 
perkataan lain dividen sesaham (dividend per share @ DPS) ialah 27.5 sen.

Jika pelabur sedang memegang saham serta layak untuk dividen berkenaan, dan jika harga saham yang dibeli ialah RM3.20 maka hasil dividen (dividend yield @ DY) ialah 8.6%. Dividen sesaham (DPS) disebut dalam bentuk nilai (sen) manakala hasil dividen (DY) disebut dalam bentuk peratus.

Syarikat yang baik ialah syarikat yang mampu membayar dividen secara berterusan dan mampu membayar melebihi dari kadar instrumen pelaburan yang berpulangan tetap seperti simpanan tetap dan lain-lain.

- Sabri Jalil


Fahami 'X-date' Untuk Melayakkan Dividen

 


Dividen ialah sejumlah keuntungan syarikat yang diagih kepada pemegang saham. 

Sebagai pemegang saham pelabur berhak keatasnya jika syarikat menjana keuntungan dan mengisytiharkan akan membuat pembayaran dividen.

Kelayakan seseorang pelabur keatas dividen tidak bergantung kepada berapa lama ia memegang saham tetapi sebaliknya bergantung kepada sehingga bila ia memegang saham yang merujuk kepada tarikh akhir yang ditetapkan.

Sesebuah syarikat tersenarai yang ingin membuat pembayaran dividen wajib membuat pengumuman sebelum pembayaran dibuat. Antara kandungan dalam pengumuman tersebut ialah;

1. Jumlah atau nilai dividen sesaham.

2. Tarikh pembayaran dividen 

3. 'X-date'. 

Mustahak bagi seorang pelabur yang ingin mendapatkan dividen memahami pengertian 'x-date' kerana ia menentukan pelabur kelayakan pelabur keatas dividen.

Sebagai contoh, sebuah syarikat telah menetapkan 'x-date'nya ialah 15 Ogos, maka;

1. Jika seseorang pelabur SEDANG mempunyai sesuatu saham dan berminat dengan dividen untuk mendapatkan dividen, maka ia harus memegang atau jangan menjual sehingga 14 Ogos, iaitu sehari sebelum 'x-date' . Pada 15 Ogos dan seterusnya terpulang kepadanya untuk terus memegang, tetapi jika ia mengambil pilihan untuk menjual ia masih layak mendapat dividen.

2. Jika seseorang pelabur BELUM memiliki  saham berkenaan tetapi berminat untuk mendapatkan dividen, maka ia boleh membeli dan memegang sehingga 14 Ogos iaitu tarikh sebelum 'x-date'. Ia masih layak untuk mendapat dividen jika menjual pada X-date iaitu 15 Ogos.


Bagaimana jika pelabur membeli pada 14 Ogos dan menjual pada 15 Ogos (x-date)? 

Ia masih layak mendapat dividen walaupun tempoh pemegangan hanya semalaman (overnight).

Kesimpulannya, 'x-date' membawa pengertian sebagai tarikh hilang kelayakan untuk mendapatkan dividen. Pelabur tidak layak mendapat dividen jika membeli pada dan selepas tarikh tersebut. Ia hanya layak jika membeli sebelum 'x-date' dan terus memegangnya sehari sebelum 'x-date'.


Apakah akan terjadi pada harga saham pada hari X-date?

Perlu diketahui oleh pelabur bahawa apabila sesebuah syarikat mengiystihar dividen ia bukan sahaja akan melibatkan pembayaran dividen tetapi juga melibatkan pengubahsuaian harga saham . Ia dikenali juga sebagai 'adjustment price' yang berlaku pada hari 'x-date', dimana harga pasaran akan diturunkan secara mekanikal mengikut nilai dividen yang disiytihar.

Dengan kata harga saham pada 'x-date' akan ditolak daripada nilai dividen untuk dijadikan sebagai harga rujukan.

Harga rujukan adalah harga yang digunakan untuk menentukan berapa sen kejatuhan atau kenaikan pada hari berkenaan dengan menolak dari harga semasa (last done price) . Dalam kes dimana tiada hari yang melibatkan 'adjustment price' harga tutup pada hari dagangan sebelumnya digunakan sebagai harga rujukan.


Contoh,

Syarikat mengisytiharkan dividen sebanyak 4 sen sesaham. Jika 'x-date'  ialah 15hb dan harga saham pula ditutup pada harga 1.20 sehari pada 14hb iaitu tarikh sebelum 'x-date', maka harga pada 15hb. (x-date) akan diturunkan kepada 1.16 (sebagai harga rujukan) dan selepas itu harga akan dibiarkan bergerak mengikut pasaran.

Penurunan harga dari 1.20 kepada 1.16 bukan disebabkan oleh pasaran tetapi disebabkan oleh 'adjustment price' yang dilaksana oleh bursa. Maka istilah kejatuhan tidak berepa tepat untuk digunakan keatas penurunan harga tersebut. Harga RM1.16 yang telah ubahsuai kerana dividen itu akan menjadi harga rujukan untuk menentukan berapa sen kenaikan harga pada hari tersebut.

Namun , penurunan atau kenaikan harga yang berlaku selepas perlaksanaan 'adjustment price' adalah tertakluk kepada pasaran.

Katakan harga kemudian ditutup lebih rendah iaitu 1.14, maka kejatuhannya ialah 2 sen iaitu dengan menolak harga tutup (atau harga semasa) dari harga rujukan 1.16 dan bukan 1.20 iaitu harga tutup sebelumnya.


- Sabri Jalil