22.7.22

Siapa Remiser?


Jika anda terlibat dalam pelaburan di pasaran saham istilah tersebut pasti melekat dilidah anda. Beliaulah individu yang harus anda hubungi jika anda ingin melabur saham di pasaran saham. 

Remisier juga dipanggil sebagai wakil peniaga saham atau dealer’s representative. Apa saja istilah ia adalah individu yang sama dan memainkan peranan yang sama.

Di setengah Negara seperti Amerika Syarikat remisier di panggil sebagai stock broker. Di Malaysia stock broker merujuk kepada institusi yang menjalankan perniagaan pembrokeran saham seperti bank pelaburan atau syarikat sekuriti (tetapi bukan syarikat kawalan keselamatan).

Remisier adalah individu yang diberi tauliah atau lesen oleh Suruhanjaya Sekuriti iaitu badan tertinggi yang mengawal keseluruhan industry pelaburan Negara. Untuk melayakkan diri sebagai seorang remisier beliau mesti sekurangnya memiliki ijazah sarjana muda. Selain itu ia juga  mesti lulus peperiksaan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti.
 

Peranan Remisier Dan Tanggungjawabnya Kepada Pelabur

Ada yang berpendapat Remisier adalah pengambil pesanan (order taker) dari pelabur yang ingin membeli dan menjual saham. Ia adalah benar dan itu adalah peranan asal remesier. Tetapi zaman sudah berubah dan tuntutan sudah berubah mengikut masa.

Sesuai dengan perubahahan zaman dan tuntutan, maka peranan remisier zaman kini bukan hanya sebagai pengambil pesanan (order taker) tetapi mereka juga memainkan peranan sebagai rujukan dan penasihat kepada pelanggannya (pelabur dan pedagang) dalam apa saja perkara yang berkaitan dengan urusniaga.

Ia adalah antara sebab mengapa Suruhanjaya Sekuriti telah menaikkan taraf kelayakan minimum kepada ijazah pada awal tahun 1990an berbanding dengan hanya SPM sebelumnya.


Bila seorang pelabur bertanya “Apa saham boleh dibeli. Berapa harga boleh naik?”, maka disitu bermula cabaran seorang remisier masa kini.

Mungkin sebahagian masih tidak mengetahui bahawa khidmat remisier adalah dibayar oleh pelabur dalam setiap urusniaga. Ia dipanggil yuran broker. Oleh kerana pelabur membayar khidmat remisier maka gunakan khidmat dan dapatkan pandangan remisier anda.
 

- Sabri Jalil

Jualan Singkat @ Short Selling


Aktiviti jualan singkat melibatkan peminjaman saham (skrip/sijil) dari pihak ketiga
dan saham yang dipnjamkan mesti dipulangkan semula

Ia adalah jualan yang dibuat hanya beberapa minit selepas membeli. 

Benarkah definisi tersebut? Tidak  sama sekali, tetapi masih ada yang berfahaman demikian.
 
Maksud sebenar jualan singkat (short selling) ialah menjual dahulu saham yang tidak dimiliki dan membelinya kemudian. Ia bertentangan dengan amalan biasa (yang dikenali sebagai 'long") dalam usaha menjana untung . Dalam amalan biasa pelabur beli dahulu jual kemudian.
 
Dalam jualan singkat cara pelabur menjana keuntungan ialah jual dahulu saham yang dijangka akan jatuh dan beli semula pada harga lebih rendah. Jika jangkaan meleset iaitu saham yang dijangka jatuh bergerak sebaliknya pelabur akan menanggung kerugian dari perlaksanaan jualan singkat
 

Di Bursa Malaysia ada dua jenis jualan singkat;

Pertama > Intraday Short Selling (IDSS)
Ia mesti dilaksanakan dalam tempoh hari yang sama (intraday). Mesti dijual singkat (iaitu dibeli selepas dijual) sebelum pasaran ditutup.
 
Kedua > Regulated Short Selling (RSS) 
Ia tidak terhad berapa lama pelabur ingin melaksanakanya. Namun RSS hanya untuk kaunter terpilih sahaja (yang dibenarkan oleh bursa) iaitu yang kukuh dari segi fundamental.

Oleh kerana tempoh untuk melaksanakan jualan singkat tidak terhad (tidak seperti IDSS), maka RSS akan melibatkan peminjaman sijil saham.
 

Mengapa perlu pinjam sijil saham?

Dalam apa saja aktiviti jual beli, bila kita sudah menjual barang kepada pembeli, barang yang dijual mesti diserah kepada pembeli. Dalam jual beli saham pula, apabila pelabur sudah menjual saham mesti diserah kepada pembeli.

Namun dalam jualan singkat pelabur menjual sesuatu saham yang ia tidak miliki, maka bagaimana untuk menyerahkan saham kepada pembeli? 

Jalan penyelesaian ialah pinjam dahulu dari pihak ketiga yang memiliki saham berkenaan untuk diserah kepada pelabur yang membeli.

Sudah selesaikah urusniaga? Jawapanya belum. Pelabur yang menjual perlu memulangkan semula saham yang dipinjam sebelum itu.


Bagaimana penyelesaian?

Bila pelabur yang menjual saham sebelum itu membeli semula saham berkenaan ia akan mendapat semula saham (sijil) tersebut dan akan dipulangkan semula kepada pihak yang meminjamkan saham berkenaan. Pihak yang meminjamkan saham berkenaan telah dapat semula sahamnya dan selesai satu pusingan urusniaga “short selling”.

 

 

- Sabri Jalil

 

21.7.22

Bukan Kerana Murah Tetapi Potensi


Setakat  21 Julai 2022, harga saham Supermax, Kossan dan Careplus (sekadar mendedahkan beberapa kaunter) kini lebih rendah dari nilai aset bersih.
 
Apakah mesej disebalik lebih rendah dari aset bersih?
 
Apabila harga berada dibawah nilai aset bersih, saham berkenaan dianggap sebagai dibawah nilai atau ‘under value’. Dengan kata lain harga pasaran berada dibawah nilai sebenar atau pada harga diskaun.
 
Bagi pelabur tulen, harga dibawah nilai adalah masa terbaik untuk membeli tetapi dengan syarat bahawa fundamental syarikat mesti masih kukuh dan mempunyai potensi untuk menjana keuntungan pada masa hadapan.
 
Keuntungan masa hadapan adalah aspek palingperlu  diutamakan oleh pelabur kerana ia adalah faktor kepada harga saham pada masa hadapan. Beli saham hari ini adalah kerana untuk harga atau nilai masa hadapan, maka  mengkaji potensi keuntungan masa hadapan amat mustahak..
 
Walaupun harga sesuatu saham telah berada dibawah nilai sebenar tetapi jika potensi keuntungan syarikat masih kabur maka ia tetap tidak sesuai untuk dibeli sebagai pelaburan walaupun kedudukan kewangan masih kukuh atau masih kaya.
 

Saham Star sebagai kajian kes;
 
STAR ialah saham dibawah nilai sejak beberapa tahun lalu. Harga semasa kini ialah 29 sen manakala nilai aset bersih sesaham ialah 89 sen, diskaun sebanyak 60 sen atau atau 67 peratus dibawah nilai.
 
Aset cairnya (wang tunai dan aset yang menyamainya) pula masih 4 kali ganda lebih tinggi dari hutang semasanya. Ia dianggap masih kukuh kewangannya.

Disebalik kekuatan tersebut terdapat perkembangan yang negatif. Rekod keuntungan makin merosot sejak 5 tahun yang lalu . Sejak tahun kewangan 2017 keuntungan merosot dari RM90.2 juta ke RM5.7 juta untuk 3 tahun pertama dan mula bertukar menjadi rugi 2 tahun selepas itu ke tahap RM132.4 juta (tahun kewangan 2021)
 


Harga sahamnya semakin merosot, dari harga setinggi RM2.56 pada tahun 2017 kini hanya RM0.29 sahaja. Kemerosotan harga sahamnya selari dengan prestasi keuntungan dalam tempoh yang sama.
 
Rekod keuntungan lalu yang buruk, harga sahamnya terus merosot dan keupayaan menjana keuntungan masa depan juga diragui.
STAR adalah syarikat media cetak yang menghadapi persaingan dengan media sosial dari pendapatan iklan sejak sekian lama. Masa depannya masih diragui selagi ia tidak mempunyai sesuatu yang baru (new elements) untuk mengubah potensinya.
 
Maka saham STAR ia tidak sesuai untuk dibeli untuk pelaburan walaupun kewangan masih kukuh dan harga sahamnya murah dibawah atau pada harga diskaun.
 
Kesimpulannya, beli saham bukan kerana harga murah semata-mata tetapi potensi masa depan perlu diutamakan.
 
 
*rujukan data : Kentrade, Stock Hunter
 
 
- Sabri Jalil

Dividen Adalah Untuk Pemilik Modal



Bukankah apa bila pelabur membeli saham di pasaran saham , wang dibayar atas pembelian akan diterima oleh penjual saham bukan syarikat?

Mengapa ia menerima dividen sedangkan ia nampak tidak menyumbang modal kepada syarikat?
 
Di atas ialah antara beberapa soalan yang pernah dilontarkan oleh seorang peserta kursus. Saham dalam kata lain ialah modal. Memiliki saham bermakna pemegang modal syarikat, dalam kata lain juga adalah pemilik syarikat.

Dalam ilmu ekonomi, pulangan untuk pemilik tanah/hartanah adalah sewa. Pulangan bagi modal adalah untung. 

Saham adalah bahagian modal dalam sesuatu perniagaan atau syarikat. Pulangannya adalah untung dalam bentuk dividen.

Dividen adalah sebahagian untung syarikat yang diagihkan kepada tuan punya modal iaitu pemegang saham.

Syarikat menerima modal apabila ia menerbit saham baru melalui IPO sebelum disenarai. Bila IPO dibeli atau dilanggan, pembeli dapat saham dan menjadi tuanpunya modal dalam syarikat, istilah lain pemegang saham . Syarikat pula dapat modal untuk perniagaannya.

Bila sudah disenarai pemegang saham yang membeli melalui IPO tadi boleh menjual kepada orang lain di pasaran saham. Bila ia sudah menjual ia kini sudah tidak lagi pemegang modal untuk syarikat berkenaan dan tiada lagi berhak menerima dividen.

Sebaliknya pelabur yang membeli di pasaran saham dianggap mengambilalih modal dari sipenjual. Maka keuntungan dalam bentuk dividen itu menjadi milik tuanpunya modal yang baru.
 
Ibarat rumah sewa, pemilik mendapat dapat hasil dari kutipan sewa, jika rumah dijual pemilik baru pula yang mendapat hasil sewa. Konsep yang sama terpakai dalam saham dan syarikat.
 
Jual beli saham di pasaran saham setiap hari menunjukkan ada modal yang bertukar pemilik setiap hari.
 
 
 - Sabri Jalil
 
 

20.7.22

Tak Perlu 100 Tahun Untuk Capai Sejuta


Ia satu perkara yang benar dimana masa 100 tahun diperlukan untuk menjadikannya sejuta ringgit dengan simpahan RM834 sebulan.

Namun tempoh masa itu diperlukan hanya jika menyimpan disaluran yang tiada memberi sebarang pulangan. Orang zaman dahulu suka simpan dibawah tilam (selepas itu duit rosak dan tidak boleh diguna) atau di dalam peti besi zaman sekarang.

Namun jika anda boleh mencari saluran yang memberi pulangan sekurangnya 5% setahun , berdasarkan kiraan terkompaun, simpanan bulanan sebanyak itu boleh dicapai dalamasa 37 tahun sahaja dengan syarat tidak dikeluarkan sepanjang tempoh tersebut.


Atau, jika anda makan gaji dan mula bekerja pada umur 24 tahun dan bersara pada umur 60 tahun (36 tahun bekerja) anda perlu membuat simpanan bulanan sebanyak RM870 (tambahan RM36) untuk mempunyai RM1 juta ketika mula bersara.

Maka, jika gaji anda sebulan ialah RM2000, caruman yang wajib untuk KWSP ialah 23% (11% dari pekerja, 12% dari majikan) atau RM460.

Anda perlu menambah RM410 (caruman sendiri) setiap bulan untuk mencapai matlamat sejuta (atau hampir) sehingga persaraan 60 tahun.


- Sabri Jalil

Kekayaan, Antara Anggapan Dan Hakikat




Anda mungkin mempunyai kumpulan aset seperti wang tunai dalam akaun bank, bangunan kediaman, tanah pertanian dan lain-lain. Nilai keseluruhan mungkin ratusan ribu ringgit. Katakan RM800 ribu, maka anda merasakan itu adalah nilai kekayaan yang dimiliki.

Jika anda tiada menanggung hutang ketika memiliki aset-aset tersebut, anggapan anda adalah benar. Namun, jika anda ada menanggung hutang, ia tidak benar. Nilai kekayaan sebenar anda adalah lebih rendah dari itu, malah mungkin boleh dianggap tidak kaya jika siaz hutang lebih besar.

Ini kerana kekayaan diukur daripada lebihan yang kita miliki yang dipanggil sebagai nilai bersih. Nilai bersih ialah perbezaan diantara jumlah aset yang dimiliki dan jumlah hutang yang ditanggung. Secara formula mudah ia boleh difahami seperti berikut;

    Nilai bersih = Jumlah aset - Jumlah liabiliti (hutang)

Jika anda memiliki sebuah rumah kediaman bernilai RM400 ribu, kekayaan anda dari rumah tersebut ialah RM400 ribu. Namun itu adalah nilai kekayaan kasar sahaja sedangkan nilai kasar bukan ukuran kepada nilai kekayaan sebenar.

Sesebuah aset fizikal apabila dijual ia akan bertukar menjadi aset tunai.

Jika rumah tersebut dimiliki dengan secara pinjaman, katakan baki pinjaman sehingga kini ialah RM300 ribu, bila ia dijual (katakan RM400 ribu juga) setelah ditotak pinjaman bakinya adalah RM100 ribu sahaja. Pada asal anda merasakan kekayaan dari pemilikan rumah adalah RM400 tetapi yang anda terima sekarang ialah RM100 sahaja, iaitu baki nilai rumah.

Dalam menilai sebuah syarikat kaedah yang sama digunakan. Nilai atau kekayaan sesebuah syarikat merujuk kepada apa yang dimiliki oleh syarikat seperti tunai di bank, tanah, bangunan pejabat atau kilang dan lain-lain, tetapi perlu dilihat juga jumlah liabiliti atau hutang yang ditanggung oleh syarikat untuk mendapatkan nilai bersih yang menjadi petunjuk kepada kekukuhannya. Formulanya adalah sama seperti diatas.

"Networth" (bahasa Inggeris) ialah istilah lain yang kerap diguna untuk menggantikan  istilah nilai bersih untuk individu dan organisasi termasuk syarikat. 

Terdapat juga istilah-istilah lain yang diguna  tetapi memberi maksud yang sama. Antaranya;

1. Aset bersih (net asset)

2. Nilai aset bersih (net asset value)

3. Nilai buku (book value)

4. Dana pemegang saham (shareholder fund)

5. Ekuiti pemegang saham (shareholder equity)

6. Pemilikan ekuiti (equity owner)

Untuk individu istilah ketiga hingga keenam amat jarang digunakan tetapi banyak digunakan untuk syarikat. 

Selain itu, nilai bersih membawa maksud nilai aset syarikat yang menjadi milik pemegang saham.


Contoh;

Jika nilai bersih sesebuah syarikat ialah RM300 juta, maka itu adalah nilai aset yang menjadi hakmilik para pemegang saham dan nilai yang sama akan dikembalikan kepada para pemegang saham jika ia dibubar.

Ada  kemungkinan nilai aset yang dipulangkan lebih rendah bergantung kepada saiz aset tidak ketara.

Penting bagi seorang pelabur menyemak nilai bersih sesebuah syarikat.  Nilai bersih bukan sahaja menunjukkan kekayaan/kekukuhan tetapi juga mengukur tahap risiko saham syarikat. Lebih tinggi nilai bersih lebih rendah risiko dan sebaliknya.

Pelabur perlu mengelak dari membeli saham sesuatu syarikat yang negatif nilai bersihnya. Nilai bersih yang negatif amat tinggi risiko. 

Jika saham syarikat tersebut masih diurusniaga di pasaran saham, ia akan dilabel sebagai PN17 atau GN3 dan menyebabkan harga semakin menjunam dalam kebanyakan kes. Ia berpotensi untuk dikeluarkan dari papan penyenaraian dan nilai sahamnya di pasaran saham menjadi kosong. Jika ia disusuli dengan pembubaran pelabur tidak mendapat apa-apa.

Maka, membeli syarikat yang nilai bersihnya negatif harus dielakkan walaupun dari segi kajian teknikalnya didapati baik. Tidak kira sama belian itu untuk jangka pendek, sederhana atau panjang.

Kesimpulannya , kekayaan sebenar sesebuah entiti, termasuk individu dan syarikat, tertakluk kepada lebihan atau baki yang dimiliki. Ia dipanggil sebagai nilai bersih.

 

- Sabri Jalil

Dividen, Bagaimana Diagih?



Dividen diagih setiap suku tahun oleh kebanyakan syarikat tersenarai.

Dari segi cara pengagihan setiap syarikat mempunyai polisi yang berbeza. Ia
mengikut nisbah yang dicadangkan oleh lembaga pengarah. 

Ada syarikat yang mengamalkan nisbah 60:40, bermakna 60 peratus daripada keuntungan akan ditahan untuk perbelanjaan operasi untuk tahun kewangan berikut manakala 40% diketepikan untuk bayaran dividen kepada pemegang saham.

Ada syarikat mengamalkan nisbah 50:50 dan 40:60

Katakan Syarikat XYZ telah mencatat keuntungan bersih sebanyak RM550 juta dan
jumlah saham yang dipegang oleh para pelabur ialah 800 juta unit. Jika polisi
pengagihan dividen ialah mengikut nisbah ialah 60:40 maka sebanyak RM220 akan
diagihkan kepada 400 juta saham yang ada.



Maka dividen yang dibayar untuk setiap unit saham ialah RM0.275 sesaham. Dengan 
perkataan lain dividen sesaham (dividend per share @ DPS) ialah 27.5 sen.

Jika pelabur sedang memegang saham serta layak untuk dividen berkenaan, dan jika harga saham yang dibeli ialah RM3.20 maka hasil dividen (dividend yield @ DY) ialah 8.6%. Dividen sesaham (DPS) disebut dalam bentuk nilai (sen) manakala hasil dividen (DY) disebut dalam bentuk peratus.

Syarikat yang baik ialah syarikat yang mampu membayar dividen secara berterusan dan mampu membayar melebihi dari kadar instrumen pelaburan yang berpulangan tetap seperti simpanan tetap dan lain-lain.

- Sabri Jalil


Fahami 'X-date' Untuk Melayakkan Dividen

 


Dividen ialah sejumlah keuntungan syarikat yang diagih kepada pemegang saham. 

Sebagai pemegang saham pelabur berhak keatasnya jika syarikat menjana keuntungan dan mengisytiharkan akan membuat pembayaran dividen.

Kelayakan seseorang pelabur keatas dividen tidak bergantung kepada berapa lama ia memegang saham tetapi sebaliknya bergantung kepada sehingga bila ia memegang saham yang merujuk kepada tarikh akhir yang ditetapkan.

Sesebuah syarikat tersenarai yang ingin membuat pembayaran dividen wajib membuat pengumuman sebelum pembayaran dibuat. Antara kandungan dalam pengumuman tersebut ialah;

1. Jumlah atau nilai dividen sesaham.

2. Tarikh pembayaran dividen 

3. 'X-date'. 

Mustahak bagi seorang pelabur yang ingin mendapatkan dividen memahami pengertian 'x-date' kerana ia menentukan pelabur kelayakan pelabur keatas dividen.

Sebagai contoh, sebuah syarikat telah menetapkan 'x-date'nya ialah 15 Ogos, maka;

1. Jika seseorang pelabur SEDANG mempunyai sesuatu saham dan berminat dengan dividen untuk mendapatkan dividen, maka ia harus memegang atau jangan menjual sehingga 14 Ogos, iaitu sehari sebelum 'x-date' . Pada 15 Ogos dan seterusnya terpulang kepadanya untuk terus memegang, tetapi jika ia mengambil pilihan untuk menjual ia masih layak mendapat dividen.

2. Jika seseorang pelabur BELUM memiliki  saham berkenaan tetapi berminat untuk mendapatkan dividen, maka ia boleh membeli dan memegang sehingga 14 Ogos iaitu tarikh sebelum 'x-date'. Ia masih layak untuk mendapat dividen jika menjual pada X-date iaitu 15 Ogos.


Bagaimana jika pelabur membeli pada 14 Ogos dan menjual pada 15 Ogos (x-date)? 

Ia masih layak mendapat dividen walaupun tempoh pemegangan hanya semalaman (overnight).

Kesimpulannya, 'x-date' membawa pengertian sebagai tarikh hilang kelayakan untuk mendapatkan dividen. Pelabur tidak layak mendapat dividen jika membeli pada dan selepas tarikh tersebut. Ia hanya layak jika membeli sebelum 'x-date' dan terus memegangnya sehari sebelum 'x-date'.


Apakah akan terjadi pada harga saham pada hari X-date?

Perlu diketahui oleh pelabur bahawa apabila sesebuah syarikat mengiystihar dividen ia bukan sahaja akan melibatkan pembayaran dividen tetapi juga melibatkan pengubahsuaian harga saham . Ia dikenali juga sebagai 'adjustment price' yang berlaku pada hari 'x-date', dimana harga pasaran akan diturunkan secara mekanikal mengikut nilai dividen yang disiytihar.

Dengan kata harga saham pada 'x-date' akan ditolak daripada nilai dividen untuk dijadikan sebagai harga rujukan.

Harga rujukan adalah harga yang digunakan untuk menentukan berapa sen kejatuhan atau kenaikan pada hari berkenaan dengan menolak dari harga semasa (last done price) . Dalam kes dimana tiada hari yang melibatkan 'adjustment price' harga tutup pada hari dagangan sebelumnya digunakan sebagai harga rujukan.


Contoh,

Syarikat mengisytiharkan dividen sebanyak 4 sen sesaham. Jika 'x-date'  ialah 15hb dan harga saham pula ditutup pada harga 1.20 sehari pada 14hb iaitu tarikh sebelum 'x-date', maka harga pada 15hb. (x-date) akan diturunkan kepada 1.16 (sebagai harga rujukan) dan selepas itu harga akan dibiarkan bergerak mengikut pasaran.

Penurunan harga dari 1.20 kepada 1.16 bukan disebabkan oleh pasaran tetapi disebabkan oleh 'adjustment price' yang dilaksana oleh bursa. Maka istilah kejatuhan tidak berepa tepat untuk digunakan keatas penurunan harga tersebut. Harga RM1.16 yang telah ubahsuai kerana dividen itu akan menjadi harga rujukan untuk menentukan berapa sen kenaikan harga pada hari tersebut.

Namun , penurunan atau kenaikan harga yang berlaku selepas perlaksanaan 'adjustment price' adalah tertakluk kepada pasaran.

Katakan harga kemudian ditutup lebih rendah iaitu 1.14, maka kejatuhannya ialah 2 sen iaitu dengan menolak harga tutup (atau harga semasa) dari harga rujukan 1.16 dan bukan 1.20 iaitu harga tutup sebelumnya.


- Sabri Jalil


19.7.22

Apakah OR? Tiada Beli Tetapi Muncul Dalam Portfolio



Ia adalah singkatan untuk “ordinary right”.

OR berkaitan dengan penerbitan saham baru oleh syarikat melalui terbitan hak (right issue).

Jika syarikat menerbitkan saham baru dan pelabur memiliki sahamnya sehingga tarikh yang ditetapkan (dikenali sebagai x-date) OR akan muncul dalam portfolio pelabur.

Katakan pelabur memliki saham MYEG, maka OR akan ujud sebagai MYEG-OR dalam portfolio.

Bagi setengah pelabur yang tidak faham tentang terbitan hak, kemunculannya agak
mengejutkan, malah menghairankan kerana tidak pernah membeli kaunter baru tersebut. Sebenarnya ia diberi secara percuma.

Bila pelabur mendapat OR bermakna pelabur layak untuk melanggan saham baru dan ditawarkan untuk melanggan. Pendaftar akan menghantar borang kepada pelabur dan borang itulah yang dipanggil OR.

Diulangi sekali lagi OR sebenarnya adalah borang. Pelabur perlu mengisi dan memulangkan borang tersebut jika berminat untuk melanggan saham baru sebelum tarikh tutup.

Walaupun OR atau borang tersebut adalah percuma tetapi untuk melanggan saham baru memerlukan modal mengikut harga saham baru yang telah ditetapkan. Jumlah atau kuantiti saham baru yang boleh dilanggan pula bergantung kepada nisbah yang ditetapkan.

Jika nisbah ialah 1:2 (dalam perkataan disebut sebagai ‘satu untuk dua’) bermakna pelabur layak melanggan 1 saham (unit)) untuk setiap 2 saham (unit) yang dimiliki. Jika pelabur mempunyai 10 ribu saham, ia layak untuk menlanggan 5000 saham.

Walaupun pelabur diberi OR sebagai tanda layak melanggan, namun melanggan bukan wajib tetap hanya satu pilihan. Dengan kata lain terpulang kepada pelabur untuk melanggan atau sebaliknya.

Jika pelabur tidak berminat untuk melanggan, apa yang perlu dilakukan?

Dicadangkan pelabur jual sahaja OR tersebut. Perlu diingat OR mempunyai tarikh luput dan disenarai hanya lima hari sahaja. Cara menjual adalah sama seperti mana pelabur menjual saham atau kaunter yang lain.

Jika berjaya menjual pelabur akan mendapat wang tambahan (tanpa modal kerana ia
percuma) tetapi jika gagal ia akan lupus begitu sahaja.

Dari pengalaman, ramai juga pelabur tidak menjual dan membiarkan OR kekal dalam portfolio kerana tidak mengetahui ia mempumyai tarikh luput dan tempoh penyenaraian yang sangat pendek. Ini banyak berlaku dikalangan pelabur baru yang kurang pengetahuan dan pengalaman.


Implikasi kepada pelabur yang sudah menjual OR, pelabur hilang kelayakan untuk
melanggan saham baru. Sebaliknya bagi pelabur yang asalnya tidak layak melanggan pula, ia boleh melayakkan dengan membeli borang di pasaran saham.

Jika menjual OR bermakna menjual borang dan melepaskan hak melanggan, maka membeli OR bermakna membeli borang dan mendapatkan hak untuk melanggan.

Didapati, oleh kerana OR harganya murah, ada dikalangan pelabur membeli OR untuk tujuan trading. Sekali lagi ia berlaku kalangan pelabur yang tidak mengetahui tentang OR.

Maka dinasihatkan, jangan membeli OR untuk tujuan trading iaitu bertujuan menjana keuntungan melalui pergerakan harga sebagaimana kaunter atau saham biasa. OR tidak sesuai untuk tujuan trading kerana berisiko tinggi ekoran daripada tarikh penyenaraian yang sangat pendek. Harganya pula semakin ia menghampiri tarikh akhir penyenaraian, semakin
menurun juga.

Pelabur hanya digalakkan membeli jika ingin melanggan saham baru atau terbitan hak sahaja.


- Sabri Jalil

Pelabur Beli Saham, Duit Pergi Ke Siapa?





KALAU KITA BELI SAHAM DI PASARAN SAHAM, KE MANA DUIT YANG KITA BAYAR? ADAKAH DIAMBIL OLEH SYARIKAT ATAU BURSA?

Apabila seorang pelabur membeli saham, contoh MYEG, maka wang yang dibayar kerana membeli saham MYEG tidak pergi ke syarikat MYEG atau pergi ke (diambil oleh) bursa.

Sebaliknya bila pelabur membeli , wang yang dibayar akan pergi ke pelabur yang menjual dan begitulah sebaliknya. Sesuatu saham yang telah disenarai ia akan berlegar atau sentiasa bertukar tangan dikalangan para pelabur (pembeli dan penjual).


BUKANKAH TUJUAN SYARIKAT DISENARAI ADALAH UNTUK MENDAPAT MODAL DARI ORANG RAMAI? KALAU HANYA BERLEGAR DIKALANGAN PELABUR BAGAIMANA IA MENDAPAT DANA?

Benar, tujuan syarikat disenarai adalah untuk mendapat dana dari orang-ramai. Syarikat mengutip dana dari orang-ramai (pelabur) ketika ia menerbitkan tawaran awam permulaan atau IPO. 

IPO adalah sejumlah saham yang diterbitkan dan dijual kepada pelabur yang berminat sebelum disenarai. Selepas disenarai saham akan diurusnia di pasaran saham dan akan berlegar dan bertukar antara pelabur (pembeli dan penjual).

Selain daripada IPO syarikat boleh lagi membuat terbitan saham baru untuk menjada dana dari orang awam selepas disenarai seperti terbitan hak (right issue), waran, bon boleh tukar dan lain-lain.


Analogi untuk kefahaman lanjut;

Katakan syarikat ABC adalah pemaju perumahan. Syarikat akan menjual rumah-rumah yang dibina kepada orang awam apabila siap. Bila anda membeli rumah tersebut anda perlu membayar dan pemaju akan dapat wang tersebut dan ANDA kini adalah pemilik rumah tersebut.

Beberapa tahun selepas itu anda ingin menjual remah tersebut, maka bakal pembeli bukan pemaju sebalik orang awam yang berminat untuk membeli rumah. Katakan En. A bersetuju membeli rumah anda, maka anda selaku penjual adalah pihak yang akan menerima bayaran dan bukan pemaju lagi.

Katakan selepas itu rumah tersebut dijual pula oleh pemilik baru dan seterusnya berlaku perkara yang sama, maka rumah tersebut hanya bertukar tangan dikalangan pembeli dan penjual dan pemaju tidak lagi terlibat dalam urusniaga tersebut.



- Sabri Jalil